Lemak Kampung Santan (2013)
Lemak Kampung Santan mengisahkan tentang seorang pemuda bandar, Ridzuan (Hans Isaac), yang jatuh cinta dengan seorang gadis kampung yang bernama Tiqa. Sekali imbas, filem ini mungkin kelihatan seperti kisah cinta tipikal si kaya jatuh cinta dengan si miskin. Apa yang tidak tipikal tentang filem ini adalah misteri yang menyelubunginya. Ridzuan merupakan seorang pereka binaan untuk sebuah syarikat pembangunan terkemuka di tanah air. Manakala Tiqa (Neelofa) pula seorang penjual nasi lemak di kampungnya, Kampung Santan. Pertemuan pertama mereka berlaku tanpa diduga di Kampung Santan. Tanpa mereka sedari, mereka senang dengan diri masing-masing walaupun hanya pada pertemuan pertama biarpun pada dasarnya mereka adalah dua insan yang berbeza. Apa yang tidak diketahui Tiqa adalah Ridzuan merupakan ketua projek yang akan membina sebuah resort bertaraf antarabangsa di Kampung Santan dan memaksa semua penduduk Kampung Santan untuk berpindah. Sepanjang perkenalan mereka Ridzuan cuba menyembunyikan kenyataan yang perit ini demi menjaga hati Tiqa dan penduduk lain kerana dia sudah mulai jatuh hati pada gadis itu. Tiqa juga tidak diberitahu tentang kewujudan Sofia (Natasha Hudson), kekasih Ridzuan di Bandar yang juga terlibat dalam projek pembangunan Kampung Santan. Dalam projek ini, Sofia dibantu oleh Badrul (Khir Rahman). Tiqa, ayahnya Pak Wan (Harun Salim Bachik), Abu (Awie) dan penduduk lain menentang projek tersebut dengan bersungguh-sungguh. Mengapa? Adakah hanya Ridzuan sahaja yang menyimpan rahsia dari Tiqa? Atau adakah Tiqa juga menyimpan rahsia tentang Kampung Santan dari Ridzuan? Persoalannya, siapa menipu siapa?
Post a Comment